Tuesday, April 20, 2010


BERSAMA GOLONGAN LIBERAL

Ada satu pandangan yang kritikal. Ia pernah diungkapkan oleh Tuan Guru MB Kelantan. Namun bahasa yang diungkapkan kali ini berbeza dan lebih tajam. “Apabila UMNO menerima Islam, maka PAS adalah haram untuk dikekalkan.”

Saya tergelak kecil mendengar pandangan sebegini. Seperti biasa, saya belajar menerima idea yang aneh dan mengancam. Saya mengerti, jika saya mudah melatah, maka saya akan terus menerus terperosok dalam lembah kejahilan dan kejumudan.

Dulu-dulu, awal-awal kejatuhan khilafah, Ali Abdul Raziq mengeluarkan karya anehnya tentang pemerintahan Islam yang menyebabkan beliau dikecam dan dilucutkan jawatan ulama. Rasyid Redha dan Saad Zaghlul antara yang lantang mengkritik pemikiran beliau.



Menariknya, golongan yang liberalis dari sudut berfikir mengeluarkan satu pernyataan yang mencabar status quo saya, dan kebanyakan orang. Kata mereka, lebih kurang bunyinya, “Wacana ilmiah kurang menjadi satu fenomena dalam gerakan Islam kerana mereka bimbang pembukaan ilmu yang luas akan melemahkan kekuatan mereka.”

Ali Abdul Raziq mempertikaikan sistem khilafah. Dulu, orang kurang menerima. Sekarang, ada kalangan ahli gerakan Islam yang menerima atas dasar nilai keilmuan. Saya secara peribadi, berasa takut namun amat gembira dengan situasi yang mencabar pemikiran dan tradisi ini.

Maka saya dan beberapa sahabat sudah mula merancang. Satu gagasan yang kritikal, “Mencabar tradisi berfikir secara biasa.” Bagaimana caranya? Kami sudah tidak mahu hanya mendengar pandangan yang daripada guru dan ulama, tetapi kami mahu mendengar pandangan daripada golongan liberalis dan intelektual songsang.

Menghayati pemikiran mereka, akan membawa kami ke satu alam yang lain. Pastinya, maya. Saya tidak sabar-sabar untuk bersama golongan liberal…

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain