Saturday, November 27, 2010

Selamat Menempuh Peperiksaan SPM & STPM 2010

Musim peperiksaan SPM dan STPM kini tiba lagi. Macam-macam ragam dan reaksi para pelajar yang sering kita dengar dan lihat. Berdebar, takut, risau begitu sinonim dengan mereka. “Peperiksaan” cukup digeruni. Kalimat keramat ini menghantui hampir kebanyakan pelajar sekolah sama ada yang tekun belajar mahupun yang sambil lewa. Lebih-lebih lagi dalam peperiksaan SPM dan STPM yang merupakan penentu kelayakan untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Ya! Satu lagi kalimat keramat yang menjadi harapan ayah bonda, impian guru-guru, idaman para pelajar; mahu belajar pandai-pandai, lulus peperiksaan dengan cemerlang agar dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Tanya saja pada pelajar-pelajar di bumi Malaysia yang tercinta ini khususnya, hampir kesemua mereka memberi jawapan yang sama. Menjejakkan kaki ke menara gading menjadi matlamat utama.

Tidak dapat dinafikan, SPM mahupun STPM menjadi agenda besar dalam hidup para pelajar. Mereka cukup peka dan prihatin dengannya. Pelbagai langkah diambil untuk memastikan keputusan yang cemerlang. Persediaan dibuat dengan apa cara sekalipun. Mereka mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mempersiapkan diri ke medan peperiksaan. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk ke kelas tambahan atau tuisyen, membeli buku-buku rujukan yang mahal dan menghadiri kem-kem motivasi. Tidak kurang juga dengan mereka yang berpegang dengan prinsip, “Study biar lepak, result biar gempak”, pasti mempersiapkan diri ke medan peperiksaan.

Ada apa sebenarnya dengan peperiksaan? Adakah semata-mata lulus atau gagal? Cemerlang atau kecundang? Pasti tidak begitu malah lebih dari itu. SPM atau STPM merupakan peperiksaan dunia yang direncanakan oleh Sang Khalifah untuk menilai prestasi dan kefahaman pelajar. Sedang cabaran dan dugaan di dalam kehidupan merupakan sebahagian peperiksaan akhirat yang menjadi aturan Sang Pencipta untuk menguji keimanan Sang Hamba. Sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2, “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi ?”

Lulus atau gagal dalam peperiksaan dunia bukanlah kekal abadi. Ia boleh diperbaiki dan diubah. Ia akan sentiasa bersilih ganti. Balasan dan kesannya juga hanyalah sementara. Amat berbeza dengan peperiksaan akhirat, lulus atau gagal tidak mungkin akan dapat diubah mahupun diperbaiki. Balasan dan hukumannya kekal abadi. Dosa atau pahala? Syurga atau neraka? Tiada yang lain. Keputusannya muktamad berdasarkan persiapan dan persediaan yang kita usahakan.

Yang mana lebih mudah? Yang mana lebih menggerunkan? Jika dalam peperiksaan dunia, awal-awal lagi kita sudah dimaklumkan jadualnya, waktu mula dan waktu akhir. Siap boleh merangka strategi untuk menjawab soalan. Lebih hebat lagi, kita mengikuti kelas tambahan untuk memperbaiki kelemahan kita dan ditambah lagi dengan tips-tips cemerlang dari pakar-pakar motivasi tersohor.

Tetapi peperiksaan akhirat tiada siapa tahu jadualnya, tiada siapa pasti waktu tamatnya peperiksaan. Sedar-sedar sudah habis masa, malaikat maut Si Izrail dah mencabut nyawa kita. Kalau kita sanggup mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga untuk pergi ke kelas tambahan, semata-mata untuk membuat persediaan menjawab peperiksaan dunia, apalah salahnya kita pergi ke majlis-majlis agama untuk persediaan menghadapi Allah.

Dalam peperiksaan dunia, hampir semua dapat soalan yang sama tidak kira dalam subjek apa pun, biologi, matematik mahupun kimia. Yang membezakan ialah tahap ilmu dan strategi kita menjawab soalan peperiksaan itu. Begitu juga dengan peperiksaan akhirat. Di alam barzakh nanti semua orang akan mendapat soalan yang sama, siap sudah diberitahu jawapan dan dibocorkan lagi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Soalan yang Pak Imam selalu ulang dalam talkin, siapa tuhan kamu, siapa imam kamu, apa agama kamu. Jawapannya memang telah diketahui namun bolehkah kita manjawabnya dengan betul? Tepuk dada tanyalah iman. Hanya amalan dan bekalan kita di dunia yang menentukan kejayaan kita menjawab soalan-soalan dari Si Mungkar dan Nakir.

Jika persediaan peperiksaan dunia giat kita persiapkan, mari perhebatkan pula persiapan kita untuk peperiksaan akhirat. Mudah-mudahan di dunia kita cemerlang di akhirat kita gemilang.

“Dan barangsiapa menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik”(Al-Isra’:19)



mygamis.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain