Thursday, July 22, 2010

Study last minute??


14 July 2010 3 Komen

Syamil : Esok exam butsuri (Fizik) kan?

Bikai : Haah. Malam ni aku datang rumah kau la, kita study sama-sama.

Syamil : Nak study butsuri?

Bikai : Ye la, dah esok exam butsuri, takkan nak study matematik pulak!

Musim peperiksaan adalah musim yang ajaib. Satu-satunya waktu dalam kehidupan yang menyatukan (hampir) seluruh hati dan kepercayaan pelajar. Kita boleh berbeza pendapat tentang pasukan bola mana yang akan menang ketika Piala Dunia. Kita boleh berbeza pendapat tentang artis mana yang akan menang Anugerah Juara Lagu. Kita boleh berbeza pendapat tentang kohai (junior) mana yang paling comel. Kita boleh berbeza pendapat tentang couple itu halal atau haram.

Tapi, kita semua akan sependapat, jika esok ada exam Matematik, maka malam itu kita harus study matematik. Jika esok ada exam Thermodynamic maka malam itu harus kita study Thermodynamic.

Adakah ketika itu kita menafikan kepentingan ulangkaji subjek-subjek lain?

Tidak!

Bahkan kita mengatur jadual ulangkaji mengikut prioriti. (lebih-lebih lagi bagi pelajar yang study last minute)

.

Fly Ke Jepun

Sunnah bagi sebuah kejayaan adalah pada keupayaan kita menetapkan prioriti dalam menyusun kehidupan.

Teringat ketika mahu terbang ke Jepun dahulu. Asalnya had yang ditetapkan untuk bagasi ialah 20 kg, namun dengan adanya kad tertentu, had bagasi boleh ditambah menjadi 30 kg. Maka bergegas pelajar-pelajar menyiapkan kad tersebut.

Kemudian, untuk mengisi bagasi juga menjadi satu masalah. Apa yang hendak diisi?

Buku? Rempah ratus? Pek makanan segera (Brahim dan sebagainya)? Lesung batu? Periuk nasi elektrik? Baju? Kasut sukan, kasut jalan, kasut high heels, sandal, selipar jepun? Budu? Serunding?

Jika difikir-fikirkan, semua perkara nampak penting. Lebih-lebih lagi serunding, budu dan sebagainya tidak akan didapati di Jepun kelak. Namun pilihan harus dibuat dengan mengutamakan benda yang penting sahaja untuk memastikan had tidak melebihi 30 kg. Sungguh menyusahkan jika seorang pelajar ingin mengangkut segala barangan remeh temeh dalam kembaranya menuntut ilmu.

“Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan”

Begitu juga yang dipesan agama ini. Hidup ibarat kembara. Maka dalam kembara ini, apakah barang yang anda pilih untuk diletakkan dalam bagasi anda?

.

Batu

Menentukan keutamaan (awlawiyyat) dalam kehidupan ini sangat bergantung dengan sistem nilai. Sistem nilai akan menentukan sesuatu itu berharga atau tidak di mata kita.

Pernah dengar kisah sebuah bekas, batu besar, batu kecil, pasir dan air? Jika hendak mengisi kesemua benda tadi di dalam sebuah bekas, harus dimulakan dengan batu besar kemudian diikuti batu kecil, pasir dan air. Jika tidak bekas tadi tidak muat untuk diisi dengan semua benda tadi.

Begitu juga dengan kapasiti masa yang kita ada. Harus diisi dengan perkara besar sebelum perkara kecil dan lain-lain.

Bagaimana jika perkara-perkara itu ialah menghadiri usrah dan program?

Bagaimana jika ia adalah membelanjakan duit untuk menziarahi rakan?

Bagaimana jika ia adalah turun solat berjemaah?

Bagaimana jika ia adalah menonton TV untuk melihat perkembangan semasa?

Bagaimana jika ia adalah membelanjakan duit untuk membeli kereta untuk dibawa pulang ke Malaysia?

Bagaimana jika ia adalah membelanjakan duit untuk infak Palestin?

Bagaimana jika ia adalah membeli pakaian baru?

Yang mana satukah menjadi perkara besar atau kecil? Apakah yang membesarkan dan mengecilkan sesuatu perkara itu?

Itulah sistem nilai kita.

Jika usrah, solat berjemaah dan infak harta dipandang sebagai sesuatu yang kurang berNILAI, ia akan menjadi perkara kecil.

Apa yang besar?

Rancangan kegemaran di televisyen?

Mencari aksesori kereta di setiap hujung minggu?

Mengejar harga murah di Yahoo Auction?

Apa yang bernilai dalam hidup anda ini?

.

Mati

Menentukan nilai sebuah kehidupan, perlu dimuhasabahkan dengan hakikat kematian. Kerana suka atau tidak, kehidupan itu akan menuju pengakhiran dan pembalasan.

Kerana itu perkara-perkara yang rumit-rumit (rujuk artikel ini) dalam hidup ini, Nabi kaitkan dengan akhirat.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja.

Bercakap, bergurau senda dan menyakat orang memang seronok. Tambahan pula kalau kita dicabar. Lebih bersemangat kita mengumpul hujah nak bertikam lidah. Lebih seronok lagi kalau dapat menyakitkan hati pihak lawan.

Nak berkata, katalah apa sahaja. Takkan kering air liur. Namun, bagi yang beriman dengan akhirat, nilai kata-kata itu besar ertinya. Ada kata menjadi pahala, banyak pula kata yang menjadi dosa. Diam mulut dari berkata, diam tangan dari menulis blog, jika tidak ada yang baik-baik ingin disampaikan.

.

Besar

Benda yang bernilai tinggi, tinggi harganya, justeru tinggi pengorbanan untuk memperolehnya.

Soalnya apa perkara bernilai tinggi di mata anda? Atau anda selesa hidup dipenuhi batu kecil, pasir, habuk dan debu?

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

[25: 23]

(Serta dikatakan kepadanya): “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu beradadalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)”.

(50:22)

.

p/s : Semoga lulus dengan cemerlang buat semua yang akan atau sedang menghadapi peperiksaan… Semoga dipermudahkan segala urusan =)…

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain