Pada zaman dahulu, di sebuah perkampungan yang kecil, tinggallah
seorang perempuan bernama Solehah dan anaknya ,Amru yang baru berusia 5
tahun. Suaminya telah meninggal dunia ketika di medan perang. Maka
tinggallah Solehah dan anaknya sehelai sepinggan meneruskan kehidupan di
sebuah rumah kecil peninggalan suaminya. Kerja solehah sebagai penenun
kain menjadikan hidup mereka serba sedikit senang. Dia dan anaknya masih
boleh mengisi perut dan menjalani kehidupan walaupun tidak semewah
orang lain. Sekurang-kurang mereka tidak perlu mengemis untuk
mendapatkan sesuap nasi. Jika ramai orang yang mengupah solehah untuk
menenun kain, maka berisi lah perut mereka hari itu , tetapi jika tiada
pelanggan, maka mereka terpaksa makan makanan simpanan sebelum ini yang
sedikit untuk mengalas perut.Begitulah kerja Solehah yang tidak menentu
setiap hari.
Pada suatu hari, tidak ada seorang pun yang
datang ke rumah Solehah untuk mengupahnya menenun kain. Nasib baiklah,
dia telah menyimpan sedikit roti untuk anaknya.
“Amru
sayang, Umi minta maaf sebab hari ini hanya ada sedikit roti untuk amru
makan, tapi Umi janji, esok kita makan nasi ya,” Solehah berkata kepada
sambil menghulurkan beberapa keping roti untuk Amru.
“Umi, kalau Amru makan roti ni, Umi nak makan apa?” Amru menyoal ibunya yang masih tidak berhenti membelai rambutnya itu.
“Umi
tak penting pun Amru. Amru makan kenyang-kenyang ya. Umi tengok Amru
kenyang pun Umi rasa dah kenyang. Amru jangan risaukan Umi.” Solehah
menjawab soalan Amru yang kelihatan masih setahun jagung itu. Bagi
Solehah, dia tidak kisah untuk berlapar. Melihat anaknya ceria dan
tersenyum setiap hari, itu sudah cukup membuat hatinya gembira.
“Umi,
Amru janji, bila Amru besar nanti, Amru nak bekerja rajin-rajin. Amru
nak bagi Umi makan enak-enak.” kata Amru pandai menjaga hati ibunya.
Kemudian, dia menyuap sedikit roti ke mulut ibunya itu. Solehah hanya
tersenyum dengan gelagat anak kecilnya itu.
Sejak kecil,
Amru dididik dan dijaga oleh Solehah sepenuh kasih sayang. Dia diberi
didikan agama yang sempurna dan diasuh bagai menatang minyak yang penuh,
seekor nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap di badan Amru. Baginya, Amru
merupakan satu-satunya harta peninggalannya. Setelah beberapa tahun
berlalu, Amru telah membesar menjadi seorang pemuda yang segak dan
tampan. Solehah pula semakin lama, semakin tua tetapi keringatnya terus
jatuh ke bumi mencari nafkah buat keluarganya.Perubahan mendadak
ditunjukkan pada sikap Amru. Dia sering keluar untuk bersukaria bersama
kawan-kawannya. Dia juga semakin degil dan selalu melawan cakap ibunya.
Walaupun disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja, tetapi nasihat ibunya
yang tua itu langsung tidak diendahkan.Malah Amru sering menengking dan
berkasar sehingga membuat ibunya itu terguris.
Solehah
tidak tahu mengapa Amru bersikap sedemikian terhadapnya. Dia tidak
pernah mengajar anaknya untuk berkasar. Setiap hari, dia berdoa agar
tuhan sentiasa melindungi Amru daripada sebarang perkara yang tidak
baik. Amru pula, langsung tidak berubah, selalu keluar berfoya-foya
dengan kawan-kawannya. Dia akan ke pekan untuk menghabiskan wang yang
diberi oleh ibunya untuk melakukan perkara yang tidak senonoh. Duit itu
banyak dihabiskannya untuk berjudi.Disebabkan berjudi itu juga, dia
selalu dipukul kerana tidak dapat membayar wang yang sepatutnya.
Begitulah rutin harian Amru. Dia tidak serik untuk berjudi walaupun tahu
akibatnya. Apabila balik ke rumah, badan Amru akan cedera dan luka di
sana-sini akibat dipukul. Solehah jugalah orang yang akan merawatnya.
Dia menyapu ubat di badan Amru sambil menitiskan air mata melihat
anaknya itu. Semahunya, dia tidak ingin perkara itu berlaku pada anak
kesayangannya itu.
“Sakitkah anakku? Umi sapu
perlahan-lahan ya.Kamu sudah besar Amru. Umi, sudah beberapa kali pesan
jangan berkawan dengan orang yang tidak elok akhlaknya. Kamu juga yang
susah nanti,” ujar solehah memberi nasihat kepada anaknya itu.Begitulah
kata-kata yang sama keluar dari mulut solehah tiap kali merawat Amru.
Amru hanya membisu seribu bahasa. Kesakitan yang dialami menutup
mulutnya.
Namun Amru tetap tidak berubah. Perangainya
masih sama seperti dahulu. Kerap kali keluar ke pekan bersama
kawan-kawanya untuk berjudi. Tiap kali dia berjudi tiap kali itu jugalah
dia kalah. Nasib langsung tidak menyebelahinya. Dan tiap kali dia kalah
tiap kali itu jugalah badannya akan menerima padahnya. Begitulah nasib
Amru setiap hari. Nasib baiklah dia mempunyai seorang ibu penyayang yang
masih mengambil berat akannya.
Setiap hari seperti biasa amru akan meminta wang daripada ibunya sebelum keluar.
Umi!! Amru nak wang lagi!! Cepatlah Umi, kawan-kawan amru tunggu Amru tu!! Tengking Amru kepada ibunya yang telah tua itu.
“Semua
wang Umi sudah habis Amru. Wang semalam ialah wang terakhir dari
simpanan Umi. Umi sudah tiada wang untuk diberi kepada Amru.” Jawab
solehah pilu. Semua wangnya telah diberi kepada Amru tanpa sempat pun
dia membeli sedikit makanan.
“Umi tipu!!! Umi masih ada
wang tapi Umi tidak mahu beri pada Amru kan??!!” Tengking amru. Jawapan
ibunya itu membuatkannya marah. Kemudian dia terus menggeledah seluruh
isi rumah untuk mencari wang. Namun usahanya itu tidak berhasil kerana
sekeping wang pun tidak berjaya dijumpai.
“Perempuan tua
tak guna!!” Jerit Amru. Dia kemudian menolak ibunya sehingga rebah dan
keluar dari rumah dengan perasan yang hampa. Amru benar-benar tertekan
kerana jika tiada wang maka tiadalah keseronokan dalam hidupnya.
Di
pertengahan jalan, Amru diberhentikan oleh seorang pemuda yang langsung
tidak dikenalinya. Pemuda itu kelihatan kaya dengan pakaiannya yang
mahal. Amru tidak sedar bahawa pemuda itu sebenarnya adalah syaitan yang
menyamar sebagai manusia. Syaitan itu hanya ingin memerangkap amru.Bagi
syaitan itu, Amru adalah orang yang sangat mudah diperdaya dengan harta
dan wang.
“Apa sebenarnya yang kamu mahu ?” tanya Amru kepada pemuda segak yang berdiri di hadapannya.
“Aku
hanya mahu menolong kamu. Bukankah kamu kesempitan wang sekarang? Aku
mahu memberi kamu wang yang banyak.” Jawab syaitan itu memperdaya Amru.
“Memberi aku wang yang banyak?!” Amru terperanjat dan gembira.
“Ya. Wang yang banyak. Tapi dengan satu syarat.” Ujar syaitan bijak bermain dengan kata.
“Apakah syarat tersebut. Cakaplah apa yang tuan mahu? Segera juga aku penuhinya.
Syaratnya, bawa hati ibu kamu kepada aku dan wang yang banyak akan menjadi milik kamu.
Tanpa
banyak berfikir, Amru terus berlari ke rumahnya. Tanpa belas kasihan
amru membunuh menanam,dan mengambil hati ibunya.Ibu yang selama ini
menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Ibu yang sanggup
berlapar demi anaknya. Ibu yang sanggup bekerja demi mencari sesuap nasi
untuk anaknya.Ibu yang selalu merawatnya semasa sakit. Malah, ketika
Amru pulang, ibunya sedang menyiapkan masakan kegemaran Amru tanpa
terasa sedikit pun akan perbuatan Amru sebelum ini.
Amru sangat
gembira kerana dengan hati ibunya itu, dia akan mendapat wang yang
banyak. Dia terus berlari untuk mendapatkan pemuda yang berjanji
dengannya tadi sambil membawa hati ibunya itu. Semasa berlari
keseronokan membayangkan dia akan mendapat wang yang banyak, tanpa
disedari Amru tersepak batu lalu terjelopok ke tanah.Dia mengerang
kesakitan.
“Sakitkah anakku?” dengan izin Allah,tiba-tiba
sahaja hati milik ibunya itu bercakap apabila melihat anak kesayangannya
sakit akibat jatuh tersungkur.Dengan penuh kasih sayang hati itu terus
bertanya. Soalan tersebut ditanya berulang-ulang kali sehingga
membuatkan Amru terperanjat. Tanpa mempedulikan kata-kata hati itu, Amru
terus mengambil dan membawanya kepada pemuda yang menyamar sebagai
syaitan. Syaitan berasa amat gembira sekali kerana misinya berjaya.
Sebagai balasan Amru diberikan wang yang banyak sebagaimana yang telah
dijanjikan.
Dengan wang yang banyak itu, Amru meneruskan
kehidupannya dengan berjudi. Akhirnya sekelip mata sahaja wang banyak
yang diberikan oleh syaitan tadi habis digunakan. Seperti biasa Amru
akan dipukul. Apabila balik ke rumah, tiada lagi kedengaran suara
bimbang ibunya. Tiada lagi ibunya untuk merawat segala luka-luka di
badannya. Tiada lagi ibunya untuk memasak makanan kegemarannya. Tiada
lagi ibunya untuk membelai-belai menidurkannya. Akibat sikap Amru yang
suka berjudi, rumahnya dijual. Akhirnya Amru menjadi pengemis dan mati
di tepi jalan akibat kelaparan.
Begitulah kisah menyayat
hati seorang ibu dan anaknya. Kisah kasih sayang ibu kepada anaknya yang
tidak berbelah bagi. Kisah pengorbanan seorang ibu. Betapa sayangnya
seorang ibu kepada anaknya itu sehingga hati masih mampu berkata-kata,
risau melihat anaknya sakit. Kita pula bagaimana? Sayangkah kita pada
ibu kita? Pernahkah kita membuat ibu kita menangis? Pernahkah kita
bayangkan kanak-kanak yatim piatu yang tidak mempunyai ibu? Bagaimanakah
nasib mereka? Kita ni sememangnya bertuah kerana mempunyai ibu. Jadi
hargailah ibu anda sebaik-baiknya.
::Virtue Knowledge::Virtual World::
Monday, May 14, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment