Sunday, October 17, 2010

Kisah Aming gi sejid (Kisah Amin pergi ke masjid)


Ayoh ye kate doh tok bolih ikut. Ye nok ikut gok . Pah tu dalang sejid wat bising. Ye berembah ngan abang dia. Bising Bango. Ayoh dia hok tengah mayang ni nok maroh dok tau ahh. Geletik tangang rasa nok bui penampor sutir. Orang laing kiri kanang dalang sof mok’o rase gitu jugak, mesti dok kusuk semayang. Kalu ye maghi dekat, bulih junga tangang, belang-belang bace fatehoh, mesti kena keppok pale, baru ye bulih dudok diang. Base anok dok rajing mari sejid, ye ingat sejid ning macang padang tepat maing. Ye berembah, ye berembah jugak nge abang dia.


Nok buwak gane , budok dua taung , dok tahu ke mende. Orang paka baju melayu nok gi sejid, ye derah-derah gi ambek baju retek dalang robok. Tak dok pioh, ye buke abih sorok dalang rumoh cari pioh, bulih ke dia pioh besor, paka jugak, paka jugak walaupung dok lekat di pale. Tegelang separuh dahi napok butir mate je dua butir, kelit-kelit. Ayoh ye kate “Aming doh ayoh gi ahhh, kek gi aming bising, dok dudok diang, kaca orang mayang”. Panda ye jawak “Aming uduk je, Aming diang je, Aming mayang nge ayoh”. Uhh, jawak bukang maing juruh. Ayoh dia pong ajoklah, nok try ,bulih ke dok dia duduk molek-molek mase orang semayang jumaat. Kalu dok ajok kang ye nangis guling hanyar depang mok dia, sapa orang abih mayang. Rohoklah mok dia nok suruh senyap kekgi.



Mase khetbah tu ye start doh, iyah-iyah ye fire ke abang dia. Abang ye senyak je, dok layang. Ayoh ye keling-keling dari jauh, pah tu cerelong ngan wat mulut cettum gitu. Marohlah tu .Ye senyak kejap. Pah tu ye segok-segok pulak abang dia, iyah-iyah, koya jadi ultrameng lawang raksakse. Ayoh ye cerelong lagi, ambek jari tunjuk bubuh dekat nge bibir, wat gerok kiri kanang. Perit meto , takutlah tu konong. Derah-derah ye gi duduk bira abang dia, terkising-kising senyung. Dok dan dua minit ye segok pulak abang dia, maing pogong-pogong pulak, iyah-iyah..



Ayoh dia buat isyarat ke abang dia ,suruh maghi dekat. Ayoh dia bisik “koho teruk adik mung ning, mung ajok adik mung gi blakang, tepat orang buh lipar nung, mung layang ye berembah, kot panda ye ah nok begocoh ke, nak berguling ke, nok teranding di dinding ke.Dok bolih jadi gining, ye kaca orang nok mayang kekgi.” Abang dia ajoklah gi blakang. Ye pong derah-derah ikut.



Amanglah sementor. Bulihlah dengar khetbah molek skit. Tok imang perabih khetbah dia, pas tu sedia nok semayang. Pah takbir je , bace patehoh, eh-eh tubik mari duane dok tahu, ye mari pulok nge abang dia. Duk selit celoh sof. Ye akat takbir jugak pah tu wat mulut bebet-bebet, pecih-pecih, pecih-pecih bunyi, bace mende dok tau. Ekseng je lebih.Mase abang dia sujud ye buwak pulok, tengok molek ngat abang dia sujud, kabat lallu atah blakang wat macang kuda. Keduk-keduk , bising bango. Mase abang dia duduk , ye pelok tekok abang dia , lepah tunju dua tige butir, debih-debih bunying. Gitulah sapa orang abih semayang.



Lepah bagi salang, kiri dan kanang, ayoh dia cerrelong slalu, bulat gete mate dia macang nok sembul , maroh tahap gajah naik minyok. Ye kejut ke mate sembul ayoh dia , Ye lari gi nusuk blakang abang dia, tahu nye saloh sebab ayoh ye pesang benor doh jangang wat bising dalang sejid. Ayoh dia saoung slow-slow “Sape maing masae mayang takdi hahhh ?”. Dalang takut-takut dia jawak “Bukang Aming”. Kebetulang tok imang tengah bace doa lepah mayang, tok makmung pulak jawak rama – rama “Aminggggg”.



Ye kejut , watpe semua orang kata Aming. Ayoh dia kate lagi “Sape bising bango main gocoh dalang sejid hahhh” . Tok Imang bace doa .Makmung jawab aminggggg. Ye pucat lesi doh muke, ye jawak “Bukang Amingggggg, bukang Amingggg.. muke paling kiri kanang tengok ke makmung, mintak kasihang belas. Abang dia doh dok tahan suke tengok keaadaang dia hok pucat lesi. Ayoh dia wat lolok tanye lagi “ sape hok maing berembah dalang sejid ahhhh?”. Tok Imang perabih doanya, hok akhir dia kate “Ya Rabbal Alaminnnnnn”, kuat skit dari biase. Makmung-makmung sume pakat perabih amingkan doa tok imang, kate kuat skit dari biase “Amin Ya Rabbal Alamin”. Ye kejut hanyar. Bukang Aming, Bukang Aming, selok ye nangis takutan. Makmung sume tengok ke dia . Derah-derah Ye gi jerba ke ayoh dia. Reboh nungging ayoh dia sapa sellok kaing-kaing. Abang dia dok tahan, suke sampai guling bating depang sof.

Bersambung….



MORAL DARIPADA CERITA DI ATAS;

1) Janganlah buat bising semasa khutbah Jumaat berlangsung

2) Taat pada perintah ibu bapa

3) Tepati janji yang telah dibuat

4) Beradab sopanlah ketika berada di dalam rumah Allah SWT


Karya Ustaz Faizul Faiizi diambil daripada fb beliau. Nak tau cerita selanjutnya? Tunggu sambungannya...

Glosari

Seperti yang diketahui umum, perkataan yang berakhir dengan huruf n @ m akan dipronouncekan dengan bunyi tambahan g dibelakang perkataan tersebut. Berikut ditambahkan sedikit glosari loghat terengganu dengan bahasa standardnya. Jika tidak faham juga, bolehlah menimba ilmu dengan anak jati Terengganu sendiri. Hehehe…

Sejid - masjid

Rohok – susah payah

Berembah / gocoh –bergaduh

Cerellong – jeling tajam

Bango – sangat

Cettum – masam, muncung

Bui – bagi

Segok- segok - cuit - cuit

Mo’o – mungkin

Bubuh / buh - letak

Sutir – Satu

Perit - takut

Maghi – mari / datang

Meto - sebentar

Junga – capai

Bira - dekat

Belang – belang – sambil

Terkising – kising – tersipu-sipu

Kepok – ketuk

Koho - makin

Buwak – buat

Kabat - panjat

Derah – derah – cepat – cepat

Nusuk - sembunyi

Retek – juga

Saung (sound)-cakap/bersuara

Robok – almari

Pakat - sepakat

Pioh – kopiah

Olok- olok- tipu-tipu

Sorok – laci

Perabih - habiskan

Paka – pakai

Hanyar- sangat

Selok– meraung

Bating – ke sana ke mari

Jerba – terpa

Sellok - terselak

Reboh – rebah

Nungging- tertonggeng

Sapa – sampai

Saturday, October 16, 2010

Ketulusan Hati - Anuar Zain

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Cintaku hanya indah
Hanya bahagia untuk selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk diriMu
Kau biarkan kasihku

MencintaiMu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati
mencintaiMu tak mengenal ragu
keyakinan hatiku hanya untuk diriMu selalu


Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Tak ada seribu janji
Hanya bahagia untuk selamanya
Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk diriMu
Kau benarkan kasihku


MencintaiMu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis hanya tulusnya hati
MencintaiMu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku hanya untuk diriMu selalu

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk diriMu
Kau dengarkan kasihku

oooo

MencintaiMu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis hanya tulusnya hati
MencintaiMu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku hanya untuk diriMu selalu

Tuesday, October 12, 2010

"AKU TAK PATUT DIUJI BEGINI!!!"


“Aku Tak Patut Diuji Begini!”

Sabar itu sebahagian daripada iman

Benarkah kita tidak patut diuji dalam hidup ini?

Orang motivasi selalu memberikan kata-kata perangsang:

“Gagal sekali bukan gagal selamanya!”

Namun harus kita ingat, hakikat sebuah kehidupan bahawa:

“Berjaya sekali bukan bererti kita akan berjaya seterusnya!”

Firman Allah SWT:

”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ”kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”.

Al-Ankabut : 2-3

UJIAN HIDUP. Satu lumrah kehidupan. Mari kita renungkan kembali kisah Nabi Adam melalui kejadiannya.

Ketika baginda diciptakan di syurga baginda dilarang untuk memakan buah khuldi, namun kerana terpengaruh dengan hasutan iblis telah membuatkan Adam AS telah melanggar arahan dan dicampakkan ke bumi. Lihatlah bahawa awal kejadian khalifah sekalipun Allah telah menguji hamba-Nya. Maka apakah kita ingin berkata bahawa ”aku tidak patut diuji”?

Lalu saat kita ditimpa dengan pelbagai ujian maka terdapat segelintir antara kita yang cuba mempersoalkan keadilan Allah SWT dalam memberi dan mengagih ujian kepada hamba-hamba-Nya. Akibat daripada itu maka ramai yang akan mula mengeluh dan mengalah dari rasa untuk berusaha dan terus berdoa kepada Allah SWT untuk diberi kekuatan ke atas ujian yang ditimpakan ke atas mereka.

Anda kita menghadapi ujian, harus kita terima dengan hati yang terbuka kerana sesuatu itu, sama ada positif atau negatif, ia adalah ujian daripada Allah. Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap ujian ada hikmahnya. Setiap baik ada buruknya dan setiap buruk ada baiknya. Inilah hakikat duniawi.

Renungilah firman Allah SWT ini:

”… dan boleh jadi kamu benci (tidak suka) kepada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) buruk bagi kamu, dan ingatlah Allah jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Al-Baqarah : 216

Semoga dengan ujian-ujian yang kita hadapi, sama ada ringan atau berat, dapat mematangkan kita seterusnya memantapkan keimanan kita kepada Allah. Hidup mesti berani tempuh cabaran. Sahabatku, tabahkan hatimu, la tahzan…

Wednesday, October 6, 2010

...Mampukah aku menawan hati mereka....

"Mampukah aku menawan hati mereka...
Masihkah ada peluang dan ruang masa untuk membalas jasa mereka...
Mampukah aku menjadi penyejuk mata mereka...

Mampukah...?..Mampukah..?..Mampukah...?".."bisik hati seorang anak yang kini menyesali dosa-dosa semalam..."

**************************************************************************************
"Kasih ibu bawa ke syurga,kasih ayah kasih selamanya"



Duhai teman dan rakan,mari kita selusuri kisah teladan ini buat tatapan,renungan dan muhasabah ke arah menjadi penyejuk mata,penawan hati kedua ibu bapa tercinta...

Pemuda beribu bapakan babi


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t.. Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t.. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t.. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami." Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah s.w.t. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.



*************************************************************************************

Teman pembaca sekalian....
Moga kisah di atas benar-benar dihayati dan meninggalkan kesan buat kita.
Moga kita mampu menjadi penawan hati,penyejuk mata kedua ibubapa lantas menjadi anak soleh dan solehah yang bakal membawa kasih-sayang bersama mereka ke syurga abadi ....

Ayuh jadi anak soleh!!!

Monday, October 4, 2010

Rindu Nabi Muhammad SAW kepada umatnya


Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.

Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.

..................................................

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Jom banyakkan selawat kepada Rasulullah SAW tanda kita juga merinduinya...
Moga-moga kita beroleh syafaatnya di akhirat kelak.InsyaAllah...

Friday, October 1, 2010

...Aku tidak ingin berbohong lagi...


Assalamualaikum buat para pembaca setia.........

Mari sama-sama mengisi masa lapang,ruang dan peluang yang Allah kurniakan pada kita..Ambillah suku masa itu untuk kalian luangkan waktu cuti ini untuk membaca disini..
~Selamat membaca~


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam.


Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata : "Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahwa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"."Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.


Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu.


Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W. Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya : "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."


Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek. "Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil.


Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."


Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.


Nota kaki: [Tiada nafsu yang tak dapat ditundukkan...Nafsu mampu dikawal dengan kesabaran..Bersabarlah duhai insan bernama manusia.. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar]

Wednesday, September 15, 2010

Jom Cover Aurah!!


“Kak wawa, kenapa pakai tudung dalam rumah?” Si kecil itu bertanya ramah. Mata beningnya menusuk ke dalam hati. Suasana di kampung yang hingar-bingar pada ketika itu tidak lagi menjadi perhatian ana. Persoalannya merentap jiwa.

Ligat otak ana berfikir untuk menterjemah kata ke dalam perkataan yang paling mudah sekali buat si kecil itu, tapi entah kenapa fikiran ana seolah-olah buntu. Ana diam seribu bahasa, sesekali mengukir senyuman buatnya. Tangan ana mengusap-usap rambutnya yang lembut.

Dalam hati tidak putus berdoa, agar dia memahaminya suatu hari nanti...

Batasan aurat

Umumnya, ramai wanita yang bertudung ketika di luar rumah, tidak mengenakan tudung di dalam rumah, meskipun ada tetamu yang hadir.

“Pak cik ana tu enti, takkan kena tutup aurat juga.”

“Pak cik yang bagaimana? Adik beradik dengan ibu ayah?”

“Tidak”

“Jadi?”

“Pakcik yang berkahwin dengan adik ibu.”

“Maka aurat kita adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.”

“Ha?”

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (An-Nur : 31)


Ringkasannya, wanita tidak boleh melihatkan auratnya kepada lelaki ajnabi kecuali ;

Ayah

Ayah di sini termasuk juga datuk baik dari sebelah ayah atau ibu, juga bapa-bapa mereka ke atas (moyang ke atas). Namun harus diingat, bapa angkat tidak termasuk dalam kategori ini berdasarkan firmanNya :

"Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu …. "[Al-Ahzab: 4]


Ayah suami

Sama seperti ayah, cuma di pihak suami. Maksudnya, ayah mertua, datuk mertua. Ayah angkat suami juga tidak termasuk dalam kategori ini.

Putera-putera mereka & putera-putera suami mereka

Anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka (Si wanita bercerai dan berkahwin dengan lelaki yang telah mempunyai anak, apabila si wanita telah bersetubuh dengan suaminya, maka anak-anak suami mereka-anak tiri tidak lagi termasuk dalam kategori lelaki yang boleh dikahwini) maka auratnya adalah dari pusat hingga lutut sahaja.

Saudara-saudara laki-laki mereka

Adik beradik baik seibu, sebapa, atau seibu sebapa. Adik beradik suami tidak termasuk dalam kategori ini.

Putera-putera saudara lelaki atau perempuan

Anak-anak abang atau kakak atau adik. Dalam hal ini, pakcik (suami kepada makcik yang merupakan adik/kakak kepada ibu/bapa) adalah lelaki yang bukan muhrim.

Wanita-wanita Islam

Aurat dengan wanita bukan Islam adalah sama dengan lelaki ajnabi.

Budak-budak

Hamba yang dimiliki

Pelayan-pelayan lelaki yang tak mempunyai keinginan


Para lelaki yang tidak lagi mempunyai nafsu kepada wanita.

Anak-anak yang belum mengerti akan aurat wanita

Kanak-kanak kecil yang belum baligh.

Rukhsah Aurat

“Enti, takkanlah nak buat kerja semua kena pakai tudung labuh-labuh, susahlah nak buat kerja. Takkan cuci pinggan nak kena pakai handsock, habis basah. Takkan nak pergi mencuci lantai pun pakai stokin?”

Jangan bimbang. Allah itu tidak zalim dan tidak pernah membebani hambaNya. Buktinya? Allah membenarkan solat qasar dan jama' atau juga dikenali dengan rukhsah solat (kemudahan dalam solat )ketika kita sedang bermusafir agar dimudahkan segala urusan.

Begitu juga perihal aurat. Teringat ana pada pesan seorang ustazah, apabila kita di dalam rumah (di kampung atau rumah sendiri atau rumah saudara) dan pada ketika itu kita mahu membuat kerja (cuci pinggan, basuh kain) ada rukhsahnya. Tidak apa tak memakai stokin dan lengan boleh dilihat dalam satu jengkal sahaja dari pergelangan tangan. Itu rukhsahnya, tapi kalau duduk-duduk tu, pandai-pandailah tutup aurat, labuhkan sikit kain agar kaki yang tak berstokin dapat ditutup sedikit.

Bagaimana pula dengan tudung? Ana rasa sekarang tidak ada masalah lagi untuk menutup aurat, hatta di dalam rumah. Asal sahaja tudung itu labuh menutupi dada dari pandangan hadapan, sisi dan belakang, tidak ketat dan tidak meleka-lekat sehinnga kelihatan bentuk tubuh, maka pakailah.

Islam itu mudah dan tidak memberatkan.

Tegur Dengan Akhlak Mulia

“Enti, susahlah.... Saudara mara ana tak faham Islam, nak tegur pun susah.” Bicara seorang muslimat, runsing memikirkan beban amanah seorang khalifah.

Jangan runsing saudaraku, ingatkah kita pada satu akhlak mulia yang telah menambat hati ramai orang bukan Islam pada suatu ketika dahulu untuk memeluk Islam? Ingatkah kita, dengan akhlaknya, nama Islam harum semerbak ke seluruh dunia? Ingatkah kita pada satu akhlak yang dikenang sehingga kini?

Benar, Rasulullah adalah satu figur yang berakhlak mulia yang layak dijadikan tauladan.

Baginda bukan hanya berdakwah dengan kata-kata tetapi juga dengan peribadinya yang mulia. Maka, andai kita tidak berani menegur, tunjukkanlah akhlak yang mulia. Tunjukkan walaupun dengan bertudung dan menutup aurat tidak membataskan pergerakan dalam membuat kerja.

Islam itu indah.

Moga Menjadi Hamba Allah Yang Taat

“Aisyah nak pakai tudung macam kak wawa.” Si kecil itu berlari ke bilik. Ana menuruti

“Tudung Aisyah yang ni,” Ana menunjuk pada tudung ber'owning' kecil dan berbunga-bunga.

“Tak nak” Tangannya ligat mencapai tudung berwarna hitam milik ibunya. Dikenakan ke kepala.

Ana tersenyum geli hati.

Aduh.. Labuh sungguh!


Semoga sahabat sekalian beroleh manfaat. Mari menjadi hambaNya yang taat dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Allah agar hidup sentiasa tenang dan terhindar dari gejala yang tidak elok.

Rasul telah beriman kepada Al Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami ta'at." (Mereka berdo'a): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (Al-Baqarah : 285)

sumber: http://masturamohdyusuf.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain