Monday, January 30, 2012

Allah Maha Adil

Memang Allah Itu Adil, Tiada Penafian Lagi!

“Benarkah Allah itu adil?” bentak gadis itu. Ustaz Affan terdiam. Sungguh mendesak emosi untuk dikawal.
Pagi itu saya tersentak mendengar kisah benar yang paling mengerikan.
Bersama dengan roti telur bawang di warung simpang tiga, dan Teh Tarik, semeja dengan Ustaz Affan – seorang ustaz di sekolah rendah saya dahulu dan penceramah bebas.
“Benarkah Allah itu adil ustaz?” tanya gadis malang itu. Ustaz Affan terdiam.
Ustaz Affan menceritakan kisah seorang gadis yang datang bertemu dengannya dan menafikan ajaran beliau di salah sebuah masjid.
Mungkin saya juga akan bertindak begitu jika saya berada di tempat gadis itu. Gadis itu akan memberi responsif yang di luar kawalan jika kenyataan dan maklumat tentang agama Islam tidak selari dengan kehidupannya yang amat suram.
“Saya menjadi mangsa rogol kepada ayah saya sendiri di rumah, mak saya seorang pelacur di salah sebuah kelab malam milik orang cina, adik saya sudah lari dari rumah, tinggal saya seorang yang masih belajar di salah sebuah kolej swasta yang berdekatan dengan rumah… adilkah Allah yang mentakdirkan hidup saya sebegini?” Rupanya itu yang menjadi ‘hantu’ bagi gadis itu.
“Gadis itu sebaya dengan enta sahaja Faiz,” beritahu Ustaz Affan.
“Ana mengajar tauhid, kebetulan pada hari itu ana membahaskan mengenai sifat adil Allah itu, tidak sangka sampai jadi begini, takdir Allah.” Ustaz Affan memang seorang pakar tauhid.
“Dia datang ke rumah seorang diri, orangnya nampak baik, bertudung litup elok, tetapi diuji sebegini, terus menerkam saya dengan hentakan ke atas meja di ruang tamu dengan menafikan sifat adilnya Allah itu, isteri saya keluar kelam kabut kerana menyangka kami sedang berkelahi. Nasib baik isteri saya menemani saya untuk bermain emosi dengan seorang gadis yang racau emosi itu.” Secawan kopi Radix Ustaz Affan sudah habis, saya masih memegang gelas tanpa meneguk. Terkejut!
“Apa dia cakap lagi ustaz?” beria saya untuk ambil tahu.
“Ana mahu minta cadangan enta Faiz, pada pandangan enta, bagaimana nak atasi dan solusi bagi situasi ini, walaupun enta tidak pernah mengalami, mungkin enta boleh memahami.”
Saya mula berfikir.
“Dia cakap, ayahnya dan Pak Longnya selalu ikut suka masuk dalam bilik dan rogol dia sesuka hati, seolah-olah benda mainan, kadang-kadang seminggu dua tiga kali, kadang-kadang bergilir-gilir ayah dengan Pak Long. Sambil minum arak. Orang melayu. Orang Islam.”
Saya telan liur saya seperti menelan batu. Menakjubkan!
“Isteri ana yang mengawal situasi, sambil menenangkan dan mengurut belakang gadis muda tersebut, sambil saya mendengar luahannya.” Ustaz Affan bercerita lagi.
“Kemudian, ustaz buat apa dengan gadis itu?” tanya saya. Ya, cerita memang menakjubkan, tetapi saya ingin tahu solusi terbaik. Apa jawapan ustaz?
Mampukah kita mengembalikan Allah kedalam hati seorang yang diuji sebegini. Bagaimana hidupnya dan beza hidup insan hebat ini dengan kita?
“Gadis itu juga cakap, ibunya selalu balik pukul 1 atau 2 pagi, kadang-kadang bawa balik lelaki, apa yang paling mengerikan, lelaki-lelaki yang ibunya layan bukan ‘putih’ macam kita ini, tapi ada hindu, cina, ada yang berpenyakit kulit, bernanah pun ada.”
Kali ini saya memang betul-betul tertegun.
“Ana tanya kenapa dia tidak duduk di rumah lain, dia cakap pernah larikan diri, tapi ayahnya jumpa juga, kemudian heret bawa pulang, kemudian lari lagi, lama-lama polis yang cari, terpaksalah dia akur. Kemudian, ana suruh dia buat laporan polis, tapi ayahnya sudah masuk keluar penjara, penjara bagi ayah gadis itu, macam pasar malam, keluar masuk ikut suka. Sudah setahun ayah gadis itu menganiayanya, mak memang tidak ambil tahu sudah, pergi petang balik pagi-pagi buta, kemudian tidur dengan lelaki sampai sehari, kemudian keluar lagi.”
Satu situasi yang sangat menggerunkan. Rupa-rupanya ada situasi sebegini. Mungkin situasi ini mengajar kita supaya optimis dengan ketentuan Allah.
Kita mesti yakin seyakin-yakinnya. Ini mungkin akan menambat tali keraguan kita, cepat-cepat huraikan sebelum ada unsur yang boleh mensyirikkan.
Zina seolah-olah benda mainan, kalau zina sudah mampu dipermain sebegini, seperti remaja sosialis yang membonceng wanita sampai ke bilik, bagaimana pula dengan perkara yang boleh MENGHAMPIRI ZINA?
Atau kita cuba bersangka baik dengan si penzina yang bakal bertaubat juga, tetapi tiada titik kesedaran yang mampu membuat turning point to back kepada muasal seorang ‘kita’. Kita asyik dengan dunia kita, itu ini, sana sini.
Mungkin juga kita akui khabaran Rasulullah S.A.W, dunia akhir zaman akan mendatangkan kembali kejahatan dan kehitaman zaman-zaman terdahulu, zina sesejenis, zina songsang, liwat, dan sebagainya. Itu satu keyakinan kepada kata-kata Rasulullah yang sememangnya benar. Namun itu bukan responsif positif jika kita menyalahkan zaman tanpa memikirkan apa-apa, atau bertindak apa-apa.
Jangan salahkan si pengarah filem yang memasukkan adegan lucah dan biadab dalam filemnya, tapi galakkan para remaja islamik dan pejuang-pejuang Islam ini supaya tidak duduk di rumah dan asyik membaca, membalas komentar di Facebook bersama sahabat-sahabat serpejuangan dalam watak mengukuhkan ukhuwwah dan meratib siang malam untuk memperbanyakkan amal. Serulah mereka dan kita, supaya menuntut ilmu perfileman atau melibatkan diri dalam dunia reformis dan tranformis manusia dan generasi.
Jangan hanya bijak menghukum, kalau tidak bijak mengubah. Dengan adanya seorang sahaja pejuang Islam di setiap bidang ilmu, perubahan mampu dilakukan. Apatah lagi seorang pejuang yang hebat kedua-dua ‘kakinya’ untuk melangkah, syariatullah dan sunnatullah. Sepertimana dia mampu menghuraikan tafsir ayat Allah dengan tafsir saintifik dan tafsir syariatik.
Dalam kes tadi, seorang gadis tidak mampu menanggung beban yang berat itu seorang diri. Apatah lagi, dianiaya sebegitu rupa. Ustaz Affan sudah menghantar beliau ke salah sebuah pusat pendidikan Islam di sini, dengan jagaan dan kawalan yang rapi, si ayah tidak boleh masuk dan mengfailkan kes culik anaknya.
Biar dia kenal Allah, kemudian dia akan kenal dirinya siapa. Kemudian dia akan kenal, fitrah dirinya hanya mengenali Allah dan pergi kepada Allah akhirnya. Untuk si ayah, agak tidak siuman untuk ‘menghantar’ si anak yang sudah berubah nanti kepada si ayah untuk berdakwah. Biar kuasa yang lebih tinggi, dengan veto pemimpin, yang mampu mencegah kemunkaran dari menjalar leluasa.
Memang Allah itu adil, tiada penafian lagi.
Peristiwa yang satu, akan menyedarkan umat yang sejuta. Bertuahlah gadis itu, Allah sangat sayangkan dia.
Kalau kita mengharapkan ustaz-ustaz yang sekeping dua ini, tidak akan kemana. Bukan kita membuang kepercayaan kepada golongan asatizah ini, tetapi mereka memerlukan pendukung yang lebih ramai yang mampu terjun ke medan dakwah dan MEMBERI.
Kita perlu keluar dari ZON SELESA dan hidup dalam ZON MENCABAR seperti tadi.
Kita mungkin tidak mengalami, tapi cuba untuk memahami.

‘Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu mengubahnya dengan sendiri.

-Islam Itu Indah-

Sunday, January 29, 2012

Bila Diri Diwakafkan

Mereka dibeli diri dan harta,
Oleh Tuhan alam semesta,
Janji Tuhan tiada dinista,
Diberi syurga kepada mereka.

Syahadahnya tulus kerana syahid,
Menanti syahid datang menjenguk,
Meskipun bukan di tempat syahid,
Pahalanya syahid sudi menjenguk.

Mereka datang kerana Ilahi,
Membela saudara tanpa dikenali,
Membela Islam saudara seimani,
Kaum kuffar tersentap mati.

Impian syahid pemangkin jihad,
Saff hadapan pilihan Tuhan,
Penunggu setia medan jihad,
Menjadi mujahid kebanggaan Tuhan.

Wanginya dia semerbak kasturi,
Balasan melangkah ke jalan kebenaran,
Kerana diri waqaf Islami,
Aroma harum kurniaan Tuhan.

-Islam Itu Indah-

Friday, January 27, 2012

Cinta yang tak masuk akal..

Bismillah..Alhamdulillah.

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:

AYAH: Mana ibumu?
ANAK: Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
AYAH: Masya-Allah!! Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
ANAK: Tidak!
AYAH: Di mana pula abangmu?
ANAK: Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.
AYAH: (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?
ANAK: Tidak!
AYAH: لا حول ولا قوة إلا بالله ....Kakakmu di mana?
ANAK: Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.
AYAH: Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?
ANAK: Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali! Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima SURAT dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. SURAT yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada SURAT yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

Firman Allah SWT:

"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
(Surah Al-'Asr)

Wallahu’alam..moga mendapat pengajaran.

-Islam Itu Indah-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain