Friday, October 28, 2011

BAGAIMANA CARA BERZIKIR KETIKA SIBUK BEKERJA?

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.
Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”
Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.
Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya:”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)



Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya:“Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”
Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

Monday, October 24, 2011

Pesta Sukan Iptim



Start Date:

2011-07-26

End Date:

2011-10-30

Time:

9:40 am

Location:

CFS

Organized by:

Centre for Foundation Studies


Ada beberapa macam sukan yang disyariatkan Rasulullah SAW, untuk kaum Muslimin, guna memberikan kegembiraan dan hiburan mereka.
Di mana sukan itu sendiri dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi ibadah dan melaksanakan kewajiban dan lebih banyak mendatangkan ketangkasan dan keinginan.
Sukan tersebut kebanyakannya bentuk suatu latihan yang dapat mendidik mereka kepada manusia berjiwa kuat, dan mempersiapkan mereka untuk maju ke medan jihad fi sabilillah.
Di antara sukan itu ialah:
1.Pertandingan.
Sahabat-sahabat Nabi SAW dulu pernah mengadakan pertandingan lumba lari cepat, kerana Nabi sendiri membolehkan. Ali adalah salah seorang yang paling cepat.
Nabi sendiri mengadakan pertandingan dengan isterinya, bertujuan memberi pendidikan kesederhanaan dan kesegaran serta mengajar kepada sahabat-sahabatnya.
Kata Aisyah, “Rasulullah bertanding dengan saya dan saya menang. Kemudian saya berhenti, sehingga ketika badan saya menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi dengan saya dan ia menang, kemudian ia bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu.” Iaitu seri atau sama-sama menang. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
2.Lumba lari dan bergusti
Rasulullah SAW pernah gulat/bergusti dengan seorang lelaki yang terkenal kuatnya, namanya Rukanah. Permainan ini dilakukan beberapa kali. (Riwayat Abu Daud). Dalam satu riwayat dikatakan:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW gulat/bergusti dengan Rukanah yang terkenal kuatnya itu, kemudian ia berkata: kambing lawan kambing. Kemudian Nabi bergusti, dan ia berkata: berjanjilah dengan saya. untuk lain kali lagi, lantas Nabi bergusti, dan ia berkata: berjanjilah dengan saya, lantas Nabi bergusti untuk ketiga kalinya.
Lantas seorang lelaki itu bertanya: Apa yang harus saya katakan kepada keluargaku? Nabi menjawab: Katakan “kambing telah dimakan oleh serigala, dan larilah kambing.” Kemudian apa pula yang aku katakan untuk yang ketiga?
Nabi menjawab: Kami tidak dapat mengalahkan kamu untuk bergusti dengan kamu dan untuk mengalahkan kamu, kerana itu ambillah hadiahmu.”
Dari hadis ini ahli-ahli fiqih beristimbat hukum tentang dibenarkannya pertandingan lari cepat, baik dia itu dilakukan antara lelaki dengan lelaki atau antara lelaki dengan perempuan mahramnya atau dengan isteri-isterinya.
Dari hadis-hadis itu pula ulama fiqih berpendapat bahawa pertandingan lari cepat, gusti dan sebagainya tidak menghilangkan kekhusyukan, kehormatan, pengetahuan, keutamaan dan lanjutnya umur. Sebab Rasulullah SAW. sendiri waktu bergulat dengan Aisyah sudah berumur di atas 50 tahun.

3.Memanah
Di antara hiburan yang dibenarkan oleh syara’ ialah bermain memanah dan perang-perangan. Sebab di satu masa Nabi pernah berjalan-jalan menjumpai sekumpulan sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, maka waktu itu Rasulullah SAW. memberikan dorongan kepada mereka dengan sabdanya: “Lemparkanlah panahmu itu, saya bersama kamu.” (Riwayat Bukhari)
Pertandingan lempar panah itu bukan sekedar hobi atau sekadar bermain-main saja, tetapi salah satu bentuk daripada mempersiapkan kekuatan sebagai yang diperintah Allah dalam firmanNya “Dan bersiap-siaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan yang kamu sanggup.”
Dalam menafsirkan ayat ini Rasulullah bersabda: “Ketahuilah! Bahawa yang dimaksud ‘kekuatan’ itu ialah memanah – beliau ucapkan kata-kata itu tiga kali.” (Riwayat Muslim)
Dan sabdanya pula: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)
Namun begitu, Rasulullah SAW. memperingatkan para pemain agar tidak menjadikan binatang-binatang jinak dan sebagainya sebagai sasaran latihannya, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang-orang Arab jahiliah.
Abdullah bin Umar pernah melihat sekumpulan manusia yang sedang berbuat demikian, kemudian Ibnu Umar mengatakan: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran memanah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dilarangnya permainan seperti itu kerana terdapat unsur-unsur penyiksaan terhadap binatang dan meragut jiwa binatang serta memungkinkan untuk membuang-buang harta, Tidak benar kalau permainan manusia itu dengan mengorbankan makhluk hidup yang lain.
Justeru itu pula Rasulullah SAW. melarang mengadu binatang seperti yang dilakukan orang-orang Arab dahulu, iaitu mereka membawa dua ekor kambing atau lembu kemudian diadu sampai mati atau hampir mati.
Lantas mereka senang dan tertawa. Para ulama berkata: “Bahawa prinsip dilarangnya mengadu binatang, kerana terdapatnya unsur menyakiti dan melumpuhkan binatang tanpa faedah, tetapi hanya sekadar bermain-main.”
4.Main Anggar
Yang sama dengan permainan memanah, ialah main anggar. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah memberi perkenan kepada orang-orang Habsyah (Ethiopia) bermain anggar di dalam Masjid Nabawi, dan ia pun memberi perkenan pula kepada Aisyah untuk menyaksikan permainan itu.
Dan kepada para pemain Rasulullah mengatakan: “Kerana kamu (kami melihat), hai Bani Arfidah.” Panggilan Bani Arfidah adalah suatu jolokan yang biasa digunakan orang-orang Arab untuk memanggil penduduk Habsyah. Umar, kerana wataknya tidak suka bermain-main, maka dia bermaksud akan melarang orang-orang Habsyah yang sedang bermain itu, tetapi kemudian dilarang oleh Nabi. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, ia berkata:
“Ketika orang-orang Habsyah sedang bermain anggar dihadapan Nabi, tiba-tiba Umar masuk, kemudian mengambil kerikil dan melemparkannya kepada mereka. Kemudian Rasulullah SAW. berkata kepada Umar.–biarkanlah mereka itu, hai Umar.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini merupakan suatu kelapangan dari Rasulullah SAW dengan mengizinkan permainan seperti ini dilakukan di Masjidnya yang mulia itu, agar di dalam masjid dapat dipadukan antara kepentingan duniawi dan ukhrawi; dan sebagai suatu pendidikan buat kaum Muslimin, agar mereka suka bekerja di waktu bekerja dan bermain-main di waktu santai. Di samping itu, bahawa permainan semacam ini bukan sekedar bermain-main saja, tetapi suatu permainan yang bermotif latihan.
Para ulama berkata setelah membawakan hadis ini sebagai berikut: “Bahawa masjid dibuat adalah demi kepentingan urusan kaum Muslimin. Oleh kerana itu apa saja yang kiranya bermanfaat untuk agama dan manusia, maka bolehlah dikerjakan di masjid.”
Kiranya kaum Muslimin di zaman-zaman terakhir ini mahu memperhatikan, mengapa masjid-masjid mereka itu dikosongkan dari jiwa hidup dan kekuatan, dan dibiarkan sebagai tempat orang-orang apatis.
Pengarahan Nabi dalam mendidik dan memberikan hiburan hati isteri-isterinya, iaitu dengan memperkenankan permainan yang mubah seperti itu.
Sehingga kata Aisyah: “Sungguh saya saksikan Nabi membatas saya dengan selendangnya, sedang saya melihat orang-orang Habsyah itu bermain di dalam masjid, sehingga saya sendiri yang merasa bosan. Mereka itu lincah selincah gadis muda belia yang masih suka bermain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Aisyah juga berkata: “Saya pernah bermain-main dengan boneka perempuan di rumah Rasulullah SAW, bersama kawan-kawan saya perempuan yang juga bermain-main dengan saya; dan tatkala Rasulullah SAW masuk, mereka itu bersembunyi, tetapi Rasulullah SAW. senang melihat mereka itu bersamaku, kemudian mereka bermain-main bersamaku lagi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5 Menunggang Kuda (Berpacu Kuda)
Allah SWT berfirman: “Kuda, kaldai dan himar adalah supaya kamu naiki dan sebagai perhiasan.” (an-Nahl: 8)
Dan bersabda Rasulullah SAW “Kuda itu diikat jambulnya untuk kebaikan.” (Riwayat Bukhari)
Dan sabdanya pula: “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)
Dan sabdanya lagi: “Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah bererti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: (1) Seorang lelaki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah). (2) Seorang yang mendidik kudanya. (3) Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya. (4) Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)
Dan berkatalah Umar: “Ajarlah anak-anakmu berenang dan memanah; dan perintahlah mereka supaya melompat di atas punggung kuda.”
Ibnu Umar meriwayatkan. “Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemerangnya.” (Riwayat Ahmad)
Semua ini sebagai dorongan Nabi terhadap masalah pacuan kuda. Sebab berpacu kuda sebagaimana kami katakan di atas, adalah permainan, olahraga juga suatu latihan.
Anas pernah ditanya: Apakah kamu pernah bertaruh di zaman Rasulullah s.a.w.? Apakah Rasulullah s.a.w. sendiri juga pernah bertaruh?
Maka jawab Anas: “Ya! Demi Allah, sungguh ia (Rasulullah SAW) pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, ia sangat tangkas dalam hal itu dan menghairankannya.” (Riwayat Ahmad)
Taruhan yang dibenarkan, atau yang dimaksud di sini ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari orang-orang yang berpacu saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari orang-orang lainnya.
Adapun hadiah yang dikumpulkan dari masing-masing yang berpacu, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka hadiah semacam itu termasuk judi yang dilarang.
Dan Nabi sendiri menamakan pacuan kuda semacam ini, yakni yang disediakan untuk berjudi, dinamakan Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya pun haram juga. (Riwayat Ahmad).
Dan Beliau bersabda: “Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang dipakai untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan adapun kuda manusia, iaitu kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sekian pandangan Al-Qardhawi. Sebenarnya inilah dasar hiburan dan sukan yang sepatutnya menjadi dasar dalam sesebuah pemerintahan.

sumber:tulahan


                                            

Sunday, October 16, 2011

HENTIKAN LAMBAKAN FILEM DAN DRAMA HANTU YANG ROSAKKAN MASYARAKAT



Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) menyokong Majlis Fatwa Kebangsaan menyuarakan kebimbangannya mengenai isu lambakan filem atau drama hantu di negara ini yang cukup popular sekarang kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam. Asas keperihatinan tersebut seharusnya dihormati kerana ia berdasarkan pandangan agama dan bukan hanya kerana mahu menimbulkan polimik dalam masyarakat.

Pihak yang berkenaan tidak harus merasa tersinggung hanya kerana sudah lama dalam dunia perfileman . Para ulama hanya menjalankan tugas untuk mengingatkan bahawa jika ia boleh membawa kesan kepada aqidah samada kepada pelakon mahupun kepada penonton termasuk kepada sutradara , maka ingatan dan gesaan ulama seharusnya dihormati dan diterima.
Persoalannya dengan filem dan drama tahyul , ialah apakah sebenarnya jenis pemikiran dan saikologi yang hendak diterapkan kepada masyarakat selain hanya dilihat sebagai suatu industri perfilemen untuk hiburan semata-mata.
Jika semua pihak serius untuk membina masyarakat di Malaysia demi menghayati pembinaan tamadun tinggi maka industri perfileman harus menyambut baik teguran yang datang dari golongan ulama.
Kami tidak nampak kenapa selera masyarakat perlu dihidang dengan filem dan drama yang akhirnya tidak membantu membentuk masyarakat yang lebih berilmu dan menghayati kehidupan murni.
Apakah ketika dunia kini sedang berhadapan dengan pelbagai realiti sosio-ekonomi-politik , kesihatan, alam sekitar yang semakin kronik , industri perfilemen kita hanya mahu menyogok masyarakat untuk menonton hal-hal yang tidak membina minda yang produktif.
Kami juga berpendirian betapa pandangan kritikal terhadap filem hantu juga punya kritikan dari sudut psikologi . Perasaan suka melihat cerita-cerita yang memaparkan babak-babak ngeri mungkin seolah-olah dilihat tidak bermasalah namun kesan negatif dalam jangkamasa panjang akan dirasai apabila perasaan takut mulai menguasai apa sahaja yang ada persekitaran kerana terlalu ingat kepada unsur tahyul dari filem yang ditonton . Apakah ini sebuah minda dan emosi yang sihat untuk sebuah masyaratkat masa kini dan yang mendatang?
Kami menyenaraikan kesan berikut yang boleh meninggalkan impak buruk kepada peribadi seorang kanak-kanak mahupun orang dewasa yang sering terdedah kepada drama dan filem hantu.
Pertama kesan rasa tegang (anxiety) akan terbina dalam perasaan orang dewasa apatah lagi dikalangan kanak-kanak apabila filem hantu yang dibikin dengan kesan visual dan audio yang canggih . Ia boleh dan berpotensi meninggalkan kesan berpanjangan. Kedua ialah kesan tidak nyenyak tidur boleh dideritai oleh penonton kerana diburu bayangan filem ngeri yang ditonton. Ketiga ialah perasaan takut yang menyebabkan hilang daya kawal terhadap diri sendiri sehingga perlu sering dibantu akibat terlalu takut dan menghakiskan keberanian untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan .Keempat ialah kesan fobia kepada penonton bila pelbagai benda yang dilihat dikait dengan filem yang ditonton . Malah fobia terhadap kegelapan , binatang , bunyi atau keadaan yang terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut berpanjangan.
Kami kesal kenapa pihak berkuasa tidak mengambil endah teguran yang disampaikan oleh Mufti sehingga mereka terpaksa menyampaikannya kepada Perdana Menteri . Sikap terlaluliberal dan hanya bergantung kepada Lembaga Penapisan Filem seharusnya tidak menjadi pendekatan pihak berkuasa.
Kami dengan itu menyokong penuh supaya pembikinan dan penayangan filem tahyul dan khurafat perlu dihentikan. Malah lambakan lambakan cerita hantu di negara ini yang mempromosi kepercayaan karut serta tidak membantu masyarakat menjadi produktif hendaklah disekat.
Jika ada pihak yang mempersoalkan gesaan ini dengan melontar hujah apakah selama ini cerita hantu sudah membuat penonton menjadi syirik dan keluar agama , kami menegaskan bahawa bahawa apakah dengan mengadakan filem seperti itu lebih membawa kepada kebaikan atau keburukan? Apakah keuntungan industri filem lebih diutamakan dari agenda membentuk pemikiran yang sihat dalam proses membina masyarakat?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

blog2 lain